Petang tadi saya bertemu 39 orang Pegawai Syariah yang telah berjaya terpilih untuk mengikuti Kursus Kehakiman Jangka Pendek di Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh, Arab Saudi bermula 30 Ogos hingga 20 September 2024.
Syukur alhamdulillah tahun ini, Kerajaan Arab Saudi telah bersetuju untuk meluaskan lagi pelaksanaan kursus ini kepada para Pegawai Syariah.
Saya secara peribadi meletakkan harapan yang sangat besar kepada Kursus ini. Sejak saya menjadi Ketua Pengarah JKSM dahulu, saya telah meletakkan asas yang kukuh kepada penganjuran Kursus ini. Ia adalah amat penting untuk membina profesionalisme serta keilmuan para Pegawai Syariah dan juga para Hakim di Mahkamah Syariah.
Apabila kita bercakap tentang pemerkasaan perundangan dan kehakiman Syariah, ia juga mesti melibatkan kompetensi para Pegawai Syariah. Makanya, manfaatkan sebenar-benarnya peluang dan ruang apabila terpilih mengikuti Kursus ini.
Saya juga mendoakan semoga Allah SWT mempermudahkan urusan permusafiran ilmu semua peserta yang terlibat.