Menjunjung kasih KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Ampun Tuanku,
Patik bagi pihak Kerajaan merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong atas limpah perkenan berangkat ke Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-64 Tahun 1446 Hijri bersamaan 2024 Masihi.
Sesungguhnya keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku berdua amat bermakna kepada patik pacal-pacal sekalian.
Setinggi-tingginya kalimah syukur dirafakkan kepada Allah Taala, dengan segala limpah rahmat-Nya jua, selama 8 hari, umat Islam menikmati bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada para peserta terbaik dunia. Kita juga menekuni penyampaian tadabbur yang meresap ke lubuk jiwa.
Temasya tahunan kali ini telah mengangkat tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” sebagai ikhtiar Kerajaan Madani pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia untuk menyeru umat Islam agar kembali menghayati nilai-nilai Qurani.
Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pemenang.
Ucapan penghargaan dan terima kasih juga saya ucapkan kepada semua peserta Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa atas penglibatan menjayakan majlis tahun ini.
Begitu juga ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan Jemaah Hakim atas segala ilmu serta penghakiman yang telah dilaksanakan.
Sesungguhnya kehadiran Tuan-Puan Ahli Al-Quran ke negara Malaysia, telah memberikan keberkatan kepada negara dengan asbab Al-Quran.
Saya memohon Ashabul Fadhilah Tuan-Tuan dan Puan-Puan Ahli-Ahli Al-Quran semua, untuk mendoakan negara Malaysia agar dilimpahkan kemakmuran dan keamanan.
Ucapan tahniah dan syabas, saya ucapkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama seluruh agensi dan semua rakyat Malaysia yang menjayakan penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali ke-64 pada tahun ini.
Semoga Allah mencatatkan ia sebagai amal soleh berpanjangan.