Sekitar Majlis Pelancaran Sahabat Wakaf Korporat Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) di Putrajaya hari ini.
Alhamdulillah, hingga ke hari ini, sebanyak 21 agensi dan syarikat korporat telah menjadi rakan strategik YWM melalui pelbagai bentuk kerjasama seperti menyedia platform pewakafan, perkhidmatan teknologi maklumat, perkongsian kepakaran dan pembangunan projek-projek wakaf.
Kerjasama ini juga bukan hanya memberi manfaat kepada YWM, tetapi juga kepada Majlis Agama Islam Negeri kerana mereka merupakan pemegang amanah tunggal harta wakaf di negeri masing-masing.
Saya bersama YWM, beriltizam untuk terus memperkasakan wakaf secara global selaras dengan agenda nasional iaitu wakaf menyumbang 10% kepada pengembangan sektor kewangan Islam menjelang tahun 2030.
Bagi tujuan ini, Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) dan YWM telah membangunkan Pelan Induk Wakaf Nasional 2025-2030 yang melibatkan gerak kerja di peringkat Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan agensi-agensi peringkat Persekutuan.
Selain melancarkan Sahabat Wakaf Korporat YWM, majlis phari ini menyaksikan penyerahan dana wakaf berjumlah RM375,000.00 yang merupakan hasil daripada 50% dividen produk pelaburan BSN Dana Wakaf Al-Ikhlas kerjasama antara YWM dengan Permodalan BSN; dan penyampaian Anugerah Penyelidik Muda Wakaf 2024 anjuran YWM kepada 3 penyelidik yang terpilih berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan.
Semoga segala usaha kita ini diberkati oleh Allah. Matlamatnya adalah membangunkan masyarakat dan ummah.