Patik merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil atas limpah perkenan Duli-Duli Tuanku berangkat ke Majlis Konvensyen KAFA Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di negeri Perlis.
Pendidikan KAFA menjadi salah satu agenda utama Kerajaan bagi melahirkan generasi yang berilmu serta menghayati agama. Program KAFA yang awalnya menjadi pengukuh pendidikan formal negara pada 34 tahun yang lalu, kini telah berjaya melahirkan dan membentuk generasi yang menjulang tinggi nilai karamah insaniah.
Dalam menghadapi cabaran serta krisis akhlak hari ini, adalah mustahak anak-anak kita di sekolah terus diberikan bekalan ilmu asas Al-Quran dan Fardhu Ain sebagai benteng kukuh dalam diri mereka.
Pendidikan KAFA makin berkembang. Sehingga Ogos 2024, rekod telah menunjukkan seramai 383 orang penyelia, 35,000 orang guru dan 1,271,837 orang murid KAFA. Sementara itu, terdapat sejumlah 6,425 premis KAFA yang berdaftar dengan jumlah kelas sebanyak 69,951 buah.
Justeru itu, Ashabul Fadhilah para Murabbi Ummah di kalangan Penyelia dan Guru KAFA mempunyai peranan yang sangat besar dalam memastikan kelangsungan dan kelancaran operasi program KAFA di peringkat Persekutuan mahupun negeri.
Kerajaan Persekutuan merakamkan syabas dan tahniah kepada guru-guru KAFA di segenap pelosok negara atas curahan tenaga dan pengorbanan masa yang telah diberikan sehingga berjaya merealisasikan kejayaan murid-murid KAFA menjadi generasi soleh dan solehah.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama pihak agensi pelaksana KAFA Negeri serta lain-lain rakan strategik akan sentiasa berusaha untuk membuat penambahbaikan sama ada dari aspek pengurusan KAFA.
Semoga segala pengorbanan dan jasa para penyelia dan Guru KAFA mendapat keberkatan dan kemuliaan disisi Allah Subhanahu Wataala.