Majlis Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2024

Hari ini saya telah menghadiri dan menyempurnakan Majlis Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2024 anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ini adalah manifestasi jelas terhadap inisiatif dan komitmen JAWI yang berterusan dan kolektif bersama-sama rakan-rakan strategik dalam usaha memastikan akidah umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan dapat dipelihara dan dipertahankan. Akidah merupakan asas penting bagi setiap individu yang beragama Islam.
Kita sedia maklum, hari ini umat Islam berhadapan dengan pelbagai isu yang amat membimbangkan khususnya berkaitan perkara-perkara yang menyentuh akidah.
Dalam konteks Wilayah Persekutuan, agensi-agensi seperti JAWI, MAIWP serta Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mempunyai peranan sangat penting untuk memperkukuh kefahaman akidah berlandaskan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sesungguhnya perpaduan umat Islam akan tertegak dengan kukuh apabila semuanya memahami serta menghayati prinsip akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Saya mahu JAWI bersama Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk terus mengaktifkan kuliah-kuliah pengajian serta penerangan berkaitan kefahaman aqidah berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah agar umat Islam benar-benar memahaminya.
Adalah amat mustahak kepada agensi hal ehwal Islam untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan lain-lain pihak untuk memperkukuh kekuatan dapat menangkis dan mematahkan penyelewengan akidah umat Islam.

Selamat Datang, Welcome