Pagi tadi saya menyempurnakan Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM ke-32.
Hari ini, Darul Quran JAKIM telah mencatatkan sejarahnya yang tersendiri, meraikan seramai 592 orang graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka di Darul Quran JAKIM.
Berkat daya juang serta kegigihan yang tidak pernah mengenal penat dan lelah, setiap masa di bumi barakah Darul Quran, bersahabat dengan Al-Quran, kitab-kitab, buku-buku dengan bimbingan para pensyarah dan asatizah, akhirnya hari ini, para graduan semua telah berjaya menghadiahkan hadiah teristimewa buat ibu ayah dan keluarga tercinta. Hari ini juga anak-anak semua telah memikul tanggungjawab agama selaku hamalatul Quran. Tahniah saya ucapkan.
Sekarang, di atas bahu para graduan, ada amanah besar untuk dipikul iaitu menjadi jurubicara ummah, mengajak masyarakat agar benar-benar menghargai serta menghayati kandungan Al-Quran dalam kehidupan.
Sekarang, di atas bahu para graduan, ada amanah besar untuk dipikul iaitu menjadi jurubicara ummah, mengajak masyarakat agar benar-benar menghargai serta menghayati kandungan Al-Quran dalam kehidupan.
Hari ini, di hadapan kita, seribu satu masalah yang bersimpang siur. Ia penuh dengan kesulitan dan keruwatan sebagai contoh isu kesihatan mental. Ia benar-benar memerlukan penglibatan bersepadu semua pihak termasuk para graduan sebagai ahli Al-Quran untuk membantu menangani permasalahan ini.
Syukur alhamdulillah, sejak penubuhan Darul Quran pada tahun 1966 sehingga hari ini berlangsungnya Majlis Istiadat Konvokesyen, Darul Quran telah berjaya mencetak seramai 11,882 orang graduan huffaz.
Sebagai sebuah institusi pengajian tahfiz di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Darul Quran JAKIM akan sentiasa memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri dan pelbagai institusi untuk melahirkan generasi Al-Falah yang berperanan secara optimum dalam negara.