Majlis Dialog Perundangan Islam Kebangsaan

Sekitar malam tadi, saya menghadiri Majlis Dialog Perundangan Islam Kebangsaan yang diadakan secara tahunan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Undang-Undang JAKIM.
Program ini menjadi satu wadah diskusi dengan pihak Negeri-Negeri bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas terhadap sesuatu undang-undang Islam yang dicadangkan di Wilayah-Wilayah Persekutuan seterusnya menjadi satu undang-undang model yang boleh dijadikan rujukan kepada Negeri-Negeri.
Alhamdulillah, Majlis Dialog ini telah dihadiri oleh Ketua Pengarah JKSM, anggota Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan, anggota Pasukan Kerja (Task Force) Pemerkasaan Governan Harta Orang Islam dan pegawai daripada Jabatan Peguam Negara serta kehadiran daripada pihak negeri seperti YAA Ketua Hakim Syarie Negeri-Negeri, SS Mufti Negeri-Negeri, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan pegawai daripada Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan wakil Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri-Negeri.
Memandangkan sehingga kini, tiada undang-undang yang digubal untuk mengawal selia pelaksanaan dan aktiviti hibah dan wasiat di Wilayah-Wilayah Persekutuan, maka terdapat keperluan supaya suatu undang-undang khusus digubal bagi tujuan tersebut untuk memberi panduan yang jelas berhubung dengan pelaksanaan hibah dan wasiat yang selaras dengan Hukum Syarak.
Melalui Majlis Dialog ini, diharap draf undang-undang mengenai hibah dan wasiat yang dibentangkan dapat diperincikan dan ditambah baik dengan adanya pandangan-pandangan serta maklum balas daripada wakil-wakil Negeri-Negeri supaya penggubalan undang-undang ini selari dengan amalan terbaik serta memenuhi kehendak masyarakat, bahkan adalah diharapkan supaya undang-undang ini juga dapat dijadikan sebagai rujukan oleh Negeri-Negeri.
Semoga Allah memberkati usaha murni ini.

Selamat Datang, Welcome