Malam ini saya menghadiri Majlis Apresiasi Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Menyingkap kepada sejarah MAIWP yang telah ditubuhkan sejak 50 tahun yang lalu, alhamdulillah MAIWP telah melalui pelbagai pengalaman yang tentunya mendewasakan kita semua.
Dalam tempoh itu juga, pelbagai usaha dan transformasi untuk menambah-baik perjalanan MAIWP sebagai sebuah organisasi Islam contoh di Malaysia.
Menjadi salah seorang anggota Ahli MAIWP bukanlah tugas yang mudah sebenarnya. Berbagai usaha dan buah fikiran yang dilontarkan dalam membincangkan isu-isu untuk membina serta membangunkan sosio ekonomi masyarakat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menghargai segala jasa khususnya barisan Ahli MAIWP yang lalu yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar telah tamat tempoh pelantikan pada 9 Februari 2024.
Bagi pihak Kerajaan, mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada barisan Ahli MAIWP tahun 2021 hingga 2024 atas sumbangan dan jasa bakti yang terbaik untuk MAIWP dan umat Islam di Wilayah Persekutuan.
Pada masa sama, barisan Ahli-Ahli MAIWP yang baharu diharap dapat menyumbangkan idea dan tenaga untuk memastikan terus berlangsungnya pembangunan dan kemajuan bagi agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Saya juga berharap agar kita semua dapat terus bersatu padu dalam memperjuangkan agenda-agenda yang bermanfaat kepada umat Islam, serta menjunjung tinggi nilai-nilai keadilan, dan kasih sayang dalam setiap tindakan kita.