Kunjungan Rasmi, Sheikh Al-Azhar, Al-Imam Al-Akbar, Sheikh Prof. Dr. Ahmed Mohammed Al-Tayyeb ke bumi ilmu Darul Quran JAKIM

Seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Darul Quran JAKIM amat bersyukur dan berbesar hati atas kunjungan rasmi, Sheikh Al-Azhar, Al-Imam Al-Akbar, Sheikh Prof. Dr. Ahmed Mohammed Al-Tayyeb ke bumi ilmu Darul Quran JAKIM di Kuala Kubu Baru, Selangor.
Ini adalah satu detik sejarah buat seluruh penghafaz Al-Quran apabila tokoh ulama’ ulung dunia telah berziarah serta melihat sendiri kampus barakah Darul Quran.
Selepas kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957, terdapat kecenderungan besar di kalangan rakyat Malaysia untuk menghantar anak-anak mereka ke institusi pengajian Al-Quran dalam dan luar negara untuk menghafal serta mempelajari ilmu-ilmunya. Ini mendorong kerajaan Malaysia untuk menubuhkan Darul Quran sejak 58 tahun yang lalu, dengan cetusan idea dari Perdana Menteri Malaysia Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Sejak penubuhannya pada tahun 1966, Darul Quran telah memainkan peranan besar dalam pendidikan tahfiz di negara ini. Bilangan graduan Darul Quran telah mencapai lebih dari 11,000 orang telah memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian ummah serta dalam masa yang sama menggalakkan perkembangan pendidikan tahfiz dalam negara.
Justeru kunjungan Sheikh Al-Azhar ke Darul Quran hari ini telah memberi satu lagi dimensi baharu kepada pemerkasaan serta perkembangan pendidikan tahfiz di Malaysia khususnya buat pelajar-pelajar Darul Quran.
Saya secara peribadi telah memohon kepada Sheikh Al-Azhar Al-Imam Al-Akbar, Sheikh Prof. Dr. Ahmed Mohammed Al-Tayyeb agar dapat memberi pertimbangan membuka peluang lebih luas kepada para graduan Darul Quran JAKIM untuk melanjutkan pengajian bukan sahaja di Maahad Qiraat Shoubra tetapi juga dalam bidang-bidang lain di Universiti Al-Azhar.
Al-Azhar Al-Syarief amat berjasa besar kepada umat Islam di Malaysia sejak zaman berzaman.
Semoga Allah merahmati dan memberkati Sheikh Al-Azhar Al-Imam Al-Akbar, Sheikh Prof. Dr. Ahmed Mohammed Al-Tayyeb dan juga seluruh institusi Al-Azhar yang menjadi kebanggaan ummah.

Selamat Datang, Welcome