Konvensyen Transformasi Tanah Perkuburan Islam dan Pengurusan Jenazah Tahun 2024

Tahniah kepada JAWI kerana menganjurkan Konvensyen Transformasi Tanah Perkuburan Islam dan Pengurusan Jenazah Tahun 2024 bersempena Sambutan Jubli Emas ke 50 Tahun JAWI.
Konvensyen yang diadakan di Kompleks Islam Putrajaya ini telah dihadiri para peserta terdiri daripada pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri, para pentadbir masjid dan surau, ahli akademik dan para pemimpin masyarakat.
Menguruskan kematian jenazah adalah satu kewajipan yang dituntut bagi seorang Muslim. Islam telah memberi garis panduan yang lengkap untuk mengurus si mati atau jenazah, bermula dari saat selepas kematian sehinggalah kepada urusan pengebumian.
Sudah tentulah untuk mengendalikan pengurusan jenazah dan juga tanah perkuburan Islam kita berhadapan dengan beberapa cabaran yang mesti difikirkan bersama untuk ditanganinya secara hikmah dan bijaksana.
Dalam konteks Wilayah Persekutuan, saya sentiasa meminta kepada pihak JAWI untuk memberikan perhatian bersungguh-sungguh kepada aspek pengurusan tanah perkuburan Islam. Usaha-usaha transformasi dan inovasi adalah amat diperlukan untuk memastikan kita dapat menguruskan tanah perkuburan dengan lebih efisien dan berkesan
Alhamdulillah, JAWI telah mengendalikan dengan penuh bersungguh-sungguh dan ketelitian dalam pengurusan tanah perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan yang diberi nama Raudhatul Sakinah.
Semua pihak mempunyai peranan masing-masing untuk memberikan nilai tambah kepada pengurusan tanah perkuburan dan juga pengurusan jenazah.
Pun begitu, sudah tentulah apabila ia melibatkan hukum hakam, perkara tersebut perlulah dirujuk kepada pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk membuat keputusan.
Konvensyen ini menjadi platform terbaik untuk berkongsi ilmu, bertukar pandangan dan merancang strategi yang lebih baik dalam usaha kita mentransformasikan pengurusan tanah perkuburan Islam dan pengurusan jenazah di negara kita.
Saya percaya semua pihak khususnya pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri mempunyai pengalaman masing-masing, maka program Konvensyen hari ini amatlah baik untuk saling mempelajari ilmu daripada semua pihak untuk diaplikasikan dalam pengrusan.
Tahniah kepada JAWI dan semua peserta atas penganjuran program yang sangat baik ini.

Selamat Datang, Welcome