Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah di Malaysia

Buat julung kalinya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menganjurkan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah di Malaysia.
Konvensyen ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.
Sesungguhnya Ucaptama YAB Perdana Menteri telah menjadi hala tuju pemerkasaan institusi perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.
Agenda memartabat perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia telah menjadi tonggak penting kepada Pelan Transformasi Al-Falah yang telah digerakkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai pelantar penambahbaikan pentadbiran hal ehwal Islam.
Mengambil langkah yang bersifat holistik serta komprehensif, usaha-usaha yang sedang giat dijalankan adalah termasuk penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam dan Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan yang telah diperkenan oleh Majlis Raja-Raja.
Di samping itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sentiasa berusaha memperkukuh modal insan khususnya dalam aspek latihan, kecekapan dan kepakaran para Hakim Syarie dan Pegawai Syariah yang menjadi teras penting dalam institusi kehakiman syariah.
Konvensyen kali ini telah dihadiri para peserta dalam kalangan pengamal undang-undang terdiri dari hakim, peguam, pendakwa, penguatkuasa, ahli akademik serta wakil agensi Islam di peringkat persekutuan dan negeri, pimpinan dan komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan.
Terima kasih serta syabas dan tahniah diucapkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP), Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENSWP) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kerana bertungkus lumus memastikan konvensyen ini berjalan dengan lancar.

Selamat Datang, Welcome