Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 110 :
كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ ….
Maksud Ayat : Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…..
Alhamdulillah, telah selesai program Jelajah Madani Ulama dan Umara Peringkat Negeri Sabah yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama dan Pendidikan Negeri Sabah mewakili Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.
Setinggi penghargaan buat para Murabbi Ummah yang terdiri dalam kalangan para Imam, guru takmir, guru KAFA, para pegawai Masjid dan Ahli Jawatankuasa Masjid yang majlis tadi.
Saya telah menyeru semua para asatizah dan para murabbi ummah untuk menjadi penyuluh dan penyatu kepada masyarakat khususnya di negeri Sabah. Kita semua mempunyai tugasan besar untuk mendidik masyarakat agar kembali menghayati agama dan adab akhlak.
Marilah kita bertekad bersama-sama membangunkan negara berasaskan nilai Islam dan nilai peradaban yang tinggi seperti hasrat YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri yang menggerakkan acuan Membangun Malaysia MADANI.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui JAKIM telah melaksanakan beberapa inisiatif iaitu penyaluran imbuhan bulanan imam, elaun guru takmir, elaun bulanan guru KAFA, bayaran khas sebanyak RM700.00 secara one-off kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA serta caruman Perkeso di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan (SKSPS) bagi orang bekerja sendiri kepada para penerima di negeri Sabah tahun 2024 seperti berikut :
i- Imbuhan Bulanan Imam sebanyak RM850.00 berjumlah RM 17,329,800.00 setahun bagi 1,699 orang penerima.
ii- Elaun Bulanan Guru Takmir sebanyak RM900.00 berjumlah RM4,546,800.00 setahun bagi 421 orang penerima.
iii- Elaun Bulanan Guru KAFA sebanyak RM1,261.35 berjumlah RM37,689,138.00 setahun bagi 2,490 orang penerima.
iv- Bayaran Khas One-Off sebanyak RM700.00 berjumlah RM6,111,000.00 setahun bagi 8,730 orang penerima.
v- Caruman PERKESO sebanyak RM232.80 berjumlah RM1,452,672.00 setahun bagi 6,240 orang penerima.
Jumlah keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM67,147,410.00 setahun bagi 8,730 orang penerima.
Semoga segala usaha dan khidmat bakti Ashabul Fadhilah Tuan-Tuan dan Puan-Puan semua untuk agama, negara dan ummah akan dicatat sebagai amal-amal soleh dan diberikan ganjaran oleh Allah Subhanahu Wataala.