KENYATAAN MEDIA
1. Patik merafak sembah dan menjunjung titah DYMM Sultan Selangor berkaitan isu cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri perayaan orang bukan Islam. Titah DYMM Sultan Selangor agar umat Islam sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman akan dilaksanakan segera oleh agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) termasuk TV Alhijrah dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri bagi memperhebatkan usaha dakwah kefahaman Islam dan pengukuhan akidah kepada umat Islam.
2.Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari 2025, JAKIM akan bekerjasama lebih giat dengan Kementerian Perpaduan Negara untuk menganjurkan program-program Dialog Harmoni yang mempromosikan perpaduan dalam negara. Pada masa sama, platform Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama akan digunakan untuk memperkukuh keharmonian dan interaksi antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam.
3.Agama Islam adalah agama rahmah yang menyantuni semua pihak termasuk masyarakat bukan Islam. Firman Allah dalam Surah Al-Mumtahanah, ayat 8 bermaksud:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM BIN HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
9 Februari 2025