KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN CADANGAN GARIS PANDUAN PENGLIBATAN ORANG ISLAM DALAM MAJLIS SAMBUTAN PERAYAAN DAN UPACARA KEMATIAN ORANG SELAIN ISLAM SERTA KUNJUNGAN DAN PENGANJURAN MAJLIS DI RUMAH IBADAT SELAIN ISLAM

1. Susulan isu berbangkit di media, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menjelaskan bahawa Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Sambutan Perayaan dan Upacara Kematian Orang Selain Islam Serta Kunjungan dan Penganjuran Majlis di Rumah Ibadat Selain Islam dibangunkan bertujuan bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni di kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di Malaysia. Menerusi Garis Panduan yang sedang dibangunkan tersebut, orang Islam akan dapat menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.
2. Garis Panduan yang sedang dibangunkan itu juga adalah bersifat nasihat. Setelah ia dimuktamadkan nanti, Garis Panduan ini akan memandu dan merancakkan usaha Kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan dan membina sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat tanpa berasa bimbang atau salah faham daripada perspektif agama Islam. Ia secara langsung akan memastikan penganjuran dan penglibatan orang Islam dalam aktiviti-aktiviti tersebut tidak akan mencetuskan kontroversi atau menyentuh sensitiviti antara para penganut agama.
3. Adalah dimaklumkan juga, Garis Panduan ini masih dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti termasuk Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) dan akan diteliti secara komprehensif oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126. Jawatankuasa Muzakarah MKI dipengerusikan oleh Yang Berhormat Datoโ€™ (Dr.) Nooh bin Gadot serta dianggotai Ashabus Samahah Mufti-Mufti dan ahli-ahli pakar. Keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI akan diangkat kepada pertimbangan Mesyuarat MKI yang dipengerusikan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
4. Semua pihak diminta tidak menimbulkan salah faham atau mempolemikkan isu ini sehingga menimbulkan keresahan awam kerana tujuan Garis Panduan ini dibangunkan adalah mulia iaitu demi memastikan penganjuran aktiviti berorientasikan keagamaan dilaksana secara tertib dan seterusnya menjadi salah satu wadah berkesan ke arah pengukuhan keharmonian negara tercinta.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATOโ€™ SETIA DR. HJ. MOHD NAโ€™IM BIN HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
5 Februari 2025

Selamat Datang, Welcome