Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mengucapkan terima kasih atas kesudian TYT Syeikh Dr Abdul Latif bin Abdul Aziz Al Syeikh, Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan, Arab Saudi kerana menerima kunjungan hormat saya dan delegasi Malaysia.
Kerajaan Malaysia amat menghargai hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi khususnya dalam bidang hal ehwal Islam.
Arab Saudi merupakan negara pertama yang menjalinkan kerjasama menerusi Memorandum Persefahaman dalam bidang hal ehwal Islam dengan Kerajaan Malaysia.
Untuk makluman, Kerajaan Malaysia melalui JAKIM dan Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan, Arab Saudi sedang dalam fasa pelaksanaan program dan aktiviti di bawah MoU tersebut bagi tempoh 2024 hingga 2026.
Kerajaan Malaysia menghargai dan menyambut baik mekanisme dua hala yang diperkenalkan oleh kedua-dua buah negara iaitu Saudi Malaysia Coordination Council (SMCC).
JAKIM merupakan agensi pelaksana bagi kluster Hal Ehwal Islam sebagaimana pihak Arab Saudi yang diwakili oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan, Arab Saudi.
Melalui platform kerjasama MoU dan SMCC ini akan memperkukuh hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Dalam pertemuan tadi, saya telah menyampaikan hasrat untuk mengadakan lebih banyak ruang kerjasama dengan pihak Kementerian Hal Ehwal Agama, Dakwah dan Bimbingan, Arab Saudi dalam pembangunan dan kemajuan pengurusan Islam di Malaysia.
Semoga kerjasama erat antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi menerusi pelaksanaan MoU ini dapat diperkukuhkan untuk manfaat umat Islam.