Selamat bergraduasi diucapkan kepada semua graduan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur sempena Majlis Konvokesyen KPBKL ke-17.
Majlis Konvokesyen ini amat bermakna untuk meraikan kecemerlangan para graduan yang telah bertungkus lumus mengharungi pelbagai cabaran, pahit dan manis sepanjang berada di kampus untuk mengenggam sebuah kejayaan.
Peluh yang mengalir, keringat yang dikorbankan serta kesungguhan yang menjadi tulang belakang setiap mahasiswa wajar diraikan kerana ia menjadi sebuah kenangan dalam mengejar sebuah kejayaan.
Setelah beberapa tahun berada di kampus KPBKL, saya yakin para graduan semakin matang dengan jati diri, menguasai ilmu yang dipelajari, mahir berkomunikasi, bersahsiah terpuji serta mampu menjadi pemimpin masyarakat satu hari nanti.
Saya percaya para ibu bapa adalah insan yang paling gembira di atas kejayaan anak-anak masing-masing.
Para graduan semua, ucapkanlah terima kasih kepada ibu bapa dan penjaga masing-masing kerana doa dan pengorbanan mereka, kita berjaya sampai ke tahap ini untuk menggenggam sebuah kejayaan.
Adalah menjadi harapan agar para graduan semua akan terus memaknakan ilmu dan akhlak apabila berinteraksi dengan masyarakat.
Ini adalah menjadi hasrat Kerajaan Madani pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim apabila meluncurkan agenda Membangun Malaysia Madani.
Agenda murni ini mahu mencorakkan sebuah masyarakat berilmu yang menjulang tinggi semangat hormat-menghormati, bertimbang rasa serta menjiwai nilai ihsan.
Para graduan mesti menjadi jambatan perpaduan dalam masyarakat. Apatah lagi dengan keunikan realiti negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.
Para graduan perlu sentiasa memberikan contoh teladan yang mulia untuk dihayati oleh masyarakat.
Selamat maju jaya semua. Menuntut ilmu tiada penamatnya. Ilmu dan akhlak sentiasa bergerak seiringan.