KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN BELANJAWAN 2025: PENGURUSAN HAL EHWAL ISLAM TUNJANG MALAYSIA MADANI

1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan atas pembentangan Belanjawan 2025: Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat.
2. Sesungguhnya, Kerajaan Madani di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri amat komited dengan usaha-usaha pembangunan syiar Islam di Malaysia. Secara keseluruhannya, untuk tujuan pengurusan hal ehwal Islam, sebanyak RM 2 bilion telah diperuntukkan. Jumlah ini adalah meningkat sebanyak RM0.1 bilion berbanding tahun 2024.
3. Selain itu, Kerajaan Malaysia amat prihatin kepada agenda pendidikan Islam dengan menyediakan RM150 juta untuk menyelenggara prasarana pendidikan Islam JAKIM seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat.
4. Kerajaan bersetuju untuk memberikan sumbangan khas sebanyak RM500 untuk menghargai sumbangan besar lebih 70 ribu para Imam, Bilal, Siak, Noja, Marbut, Guru KAFA dan guru takmir yang melibatkan peruntukan RM35 juta. Pada masa sama, Kerajaan bersetuju untuk menambah kuota Guru KAFA sebanyak 1,500 orang selari dengan tuntutan pendidikan fardu ain untuk anak-anak.
5. Kerajaan juga begitu prihatin dengan bakal pendakwah di kalangan penuntut di Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) dan Darul Quran JAKIM dengan meningkatkan kadar wang saku penuntut sebanyak RM100.
6. Saya bersama seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertekad terus berusaha dengan semangat islah dan itqan bagi memastikan seluruh agensi Islam sentiasa memelihara tatakelola yang baik dan integriti.
7. Selain itu agensi Islam juga akan berusaha menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pengurusan seperti yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri.
8. Saya mewakili Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengucapkan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan atas pembentangan Belanjawan 2025.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM BIN HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
18 Oktober 2024

Selamat Datang, Welcome