KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN SOKONGAN KEPADA KENYATAAN YAB PERDANA MENTERI DALAM WAWANCARA BERSAMA WARTAWAN MEHDI HASAN

1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh kenyataan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ketika wawancara bersama wartawan Mehdi Hasan yang disiarkan di portal rasmi Bernama pada 7 Oktober 2024.
2. YAB Perdana Menteri dengan tegas menyebut tentang kepentingan memperkukuh perpaduan dan toleransi dalam kemajmukan masyarakat selain memastikan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran. Selain itu, apabila diwawancara tentang undang-undang hudud di Malaysia, YAB Perdana Menteri telah memberi maklum balas bahawa ia memerlukan konsensus. Walaubagaimanapun, keutamaan sekarang adalah untuk memastikan keamanan dan keselamatan masyarakat.
3. Kenyataan YAB Perdana Menteri dalam isu tersebut adalah tepat dan berasas dengan mengambil kira Fiqh Al-Waqi’ (fiqh realiti) serta Fiqh Al-Awlawiyyat (keutamaan).
4. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang mengambil langkah untuk memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah secara komprehensif meliputi aspek penggubalan, penyemakan dan pindaan undang-undang syariah, penstrukturan Mahkamah Syariah, penyediaan latihan komprehensif bagi meningkatkan kompetensi Hakim dan pegawai di Mahkamah Syariah. Pada masa yang sama, hal ehwal berkaitan pendakwaan syariah, penguatkuasaan syariah serta guaman syarie perlu turut diperkukuh terlebih dahulu untuk memperkasa sistem
kehakiman syariah.
5. Kerajaan Madani melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa mendokong agenda pengukuhan institusi perundangan dan kehakiman syariah dengan meletakkan ia sebagai salah satu fokus dalam Pelan Transformasi Al-Falah Tahun 2023-2027.
6. Kesemua usaha yang diambil ini sebelum dilaksanakan akan melalui proses sewajarnya termasuk merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
8 Oktober 2024

Selamat Datang, Welcome