Pagi ini saya menyempurnakan penutupan Ihtifal Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan Kali ke-9, Tahun 2024 di Ma’had Al-Mashoor Al-Islami, Balik Pulau, Pulau Pinang.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri terus berusaha membangunkan potensi anak-anak KAFA dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.
Pendidikan KAFA menjadi salah satu agenda utama Kerajaan bagi melahirkan generasi berilmu serta menghayati agama.
Generasi hari ini terdedah dengan pelbagai cabaran termasuk teknologi media baharu. Hari ini di media sosial, bahan-bahan negatif seperti pornografi dan sebagainya, begitu mudah diakses.
Begitulah juga ajaran-ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, tersebar di media sosial dengan pantas. Termasuklah juga adab dan sahsiah yang semakin terhakis. Anak-anak mudah terdorong kepada perkara-perkara negatif sekiranya tidak dibimbing dengan betul.
Sekiranya anak-anak kita tidak dibekalkan dengan iman, taqwa, ilmu jua akhlak, kerisauan kita semua, jiwa anak-anak mudah rapuh dan akan terjebak dengan gejala keruntuhan nilai.
Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak, bersama-sama membentuk jatidiri generasi Al-Falah ini agar benar-benar memahami asas agama sebelum melangkah masuk ke alam persekolahan di peringkat menengah.
Ucapan tahniah dan syabas diucapkan kepada YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama JAKIM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang selaku Tuan Rumah sepanjang penganjuran Ihtifal KAFA Kebangsaan tahun ini.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang menyertai temasya Ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan tahun ini. Anak-anak semua adalah generasi madani, harapan ummah.