Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar dan Penyampaian Insentif Galakan Hafazan Tahun 2024M/1446H

Tahniah diucapkan kepada MAIWP kerana menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar dan Penyampaian Insentif Galakan Hafazan Tahun 2024M/1446H.
Majlis ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar-pelajar cemerlang dan golongan huffaz khususnya di Wilayah Persekutuan.
Bertepatan dengan hasrat YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri yang amat komited mahu memartabat pembangunan syiar Islam di Malaysia termasuklah pendidikan Islam.
Sepertimana yang kita sedia maklum, keputusan SPM 2023 telah pun diumumkan pada 8 Jun yang lalu. Alhamdulillah, sekolah-sekolah yang berada di bawah MAIWP telah berjaya mendapat keputusan yang memuaskan begitu juga dengan pelajar-pelajar penerima bantuan am MAIWP.
Berdasarkan kepada keputusan tersebut tersebut, MAIWP bersetuju memberikan insentif kepada 698 orang pelajar cemerlang akademik tahun 2023 yang terdiri daripada penerima Bantuan Am Persekolahan dan pelajar-pelajar Institusi Pendidikan MAIWP dengan peruntukan sebanyak RM3,137,440.00. Pelajar cemerlang ini akan turut menerima satu unit komputer riba dan insentif tunai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).
Selain itu, bagi pihak MAIWP, saya menyampaikan Insentif Galakan Hafaz Al-Quran kepada para huffaz untuk terus menghidupkan dan memartabatkan Al-Quran dalam masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan.
Seramai 529 orang peserta menerima insentif galakan hafazan ini dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM1,937,750.00.
Semoga anak-anak ini terus maju jaya dalam pelajaran dan menjadi insan soleh solehah berbakti kepada keluarga, negara dan ummah.

Selamat Datang, Welcome