Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan

Sekitar Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan.
Bulan Rabi’ul Awwal merupakan bulan kelahiran insan teragung iaitu Baginda Rasulullah. Perutusan Nabi Muhammad sebagai Rasulullah merupakan nikmat yang terbesar kepada seluruh makhluk.
Al-Quran telah memberikan penjelasan, akhlak serta pekerti Baginda Rasulullah begitu tinggi. Baginda Rasulullah juga amat mengasihi seluruh umatnya.
Pada hari ini kita mengadakan Majlis Maulidur Rasul sebagai usaha untuk menyuburkan rasa cinta kepada Baginda Rasulullah selain mengajak masyarakat untuk menghayati segala ajaran yang telah disampaikan oleh Baginda Rasulullah.
Dalam konteks Wilayah Persekutuan, mudah-mudahan perhimpunan tahunan ini akan menjadi medan bermuhasabah serta mencetus semangat kepada seluruh umat Islam untuk membaca, mengkaji serta menghayati hadis serta sunnah Baginda Rasulullah.
Saya menyeru umat Islam di Wilayah Persekutuan supaya berusaha untuk membina perpaduan ummah di samping memperkukuh keharmonian bermasyarakat melalui penghayatan terhadap Rasulullah SAW.
Institusi masjid dan surau di Wilayah Persekutuan perlu terus diupayakan dengan program-program keilmuan selain menjadi pusat kesatuan yang menyebarkan rahmah kepada semua golongan.
Institusi masyarakat juga perlu terus disemarak dengan nilai mahabbah dan ukhuwwah, sentiasa membantu para asnaf dan saling bertoleransi dalam kemajmukan masyarakat yang berbilang agama dan kaum.
Di samping itu, saya mahu supaya pihak berkuasa agama Islam di Wilayah Persekutuan khususnya JAWI, MAIWP dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk sentiasa memelihara kesucian akidah Islam di Wilayah Persekutuan.
Mana-mana fahaman sesat dan ajaran bertentangan dengan ajaran Islam perlulah dibanteras secara bersepadu dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta lain-lain agensi strategik.
Oleh yang demikian, kerja-kerja kajian, penyelidikan termasuk siasatan dan penguatkuasaan agama perlu digerakkan dengan tangkas, pantas dan bijaksana selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
Salam Maulidur Rasul SAW.

Selamat Datang, Welcome