Petang ini saya menghadiri Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan tahun 1446 Hijri bersamaan 2024 Masihi.
Setiap kali tibanya Awal Muharram, seluruh umat Islam akan menginsafi serta mengambil ibrah peristiwa hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersama para sahabat.
Hijrah telah meledak pembangunan peradaban sehingga menatijahkan kejayaan demi kejayaan. Semuanya demi dakwah menyebarkan taqwa dan iman, ke seluruh pelosok alam.
Oleh yang demikian, JAWI bersama MAIWP perlu memperbanyakkan program-program pengukuhan kesatuan umat Islam melalui peranan institusi masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.
Begitulah juga program-program kemasyarakatan perlu
dipergiatkan untuk memperkukuh keharmonian antara kaum,
agama dan budaya. Keunikan Wilayah-Wilayah Persekutuan
yang didiami pelbagai kaum, agama dan bangsa perlulah dimanfaatkan untuk menonjolkan agama Islam yang bersifat
rahmah dan berkasih sayang.
Selain itu, JAWI bersama MAIWP dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan perlu terus berusaha mendekati anak-anak muda dengan pelbagai program yang menarik.
Perkara ini penting sebagai usaha untuk membina akhlak serta modal insan para muda mudi di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Kita perlu mempunyai sebuah Pelan Tindakan strategik untuk membangunkan anak-anak muda daripada aspek penghayatan Islam kerana mereka semua adalah pemimpin pelapis pada masa akan datang.
Setinggi tahniah buat penerima Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1446H.
Dengan semangat Maal Hijrah kita terus berusaha membuat penambahbaikan dan perubahan positif.